Coop DHR buktikan kejayaan koperasi keluarga

KUALA TERENGGANU 6 Okt. – Dengan hanya caruman RM100 dalam kalangan ahli keluarga, Datuk Hashim Mamat, bekas pegawai kanan kerajaan negeri menggerakkan koperasi bagi keluarganya.

Kegiatan yang turut mengisi ruang masa menempuh alam persaraan itu dianggapnya sebagai pembuka rezeki kepada ekonomi keluarga dan sanak-saudaranya.

Setelah mencecah usia empat tahun, Koperasi Keluarga Datuk Hashim Mamat Kuala Terengganu Berhad atau lebih dikenali dengan Coop DHR semakin kukuh di bawah pentadbirannya.

Walaupun mengalami kerugian di peringkat awal, Coop DHR bangkit daripada pengalaman dan akhirnya mampu menjana keuntungan yang memberangsangkan, malah kini memiliki aset sekitar RM6.5 juta.

Coop DHR yang ditubuhkan pada 19 September 2007 kini merupakan salah satu koperasi keluarga yang berjaya di negeri ini.

”Saya hidupkan koperasi kerana tidak mahu melihat masa depan ahli keluarga susah. Isteri dan anak- anaklah yang memberi dorongan untuk saya menubuh dan menjalankan koperasi ini,” katanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, beliau selaku Pengerusi Kehormat Coop DHRm, idea bagi menubuhkan koperasi keluarga sudah lama iaitu ketika dia memimpin Belia 4B di negeri ini.

”Saya melihat potensinya bersandarkan kejayaan mereka yang telah bersama koperasi iaitu jika dilakukan secara bersungguh-s ungguh dan tersusun, ia pasti berjaya,” ujarnya.

Bekas Tokoh Belia Negeri Terengganu 1997 itu berkata, beliau kini merasa puas dengan hasil penat lelah, perjalanan koperasi kini berada pada landasan yang baik.

Katanya, melihat kepada jumlah ahli Coop DHR yang agak sedikit iaitu cuma 30 orang, beliau menegaskan tindakan mengehadkan jumlah ahli sangat penting pada peringkat awal untuk mengawal modal, saham serta dividen yang perlu diagihkan kelak.

“Saya tidak mahu mengumpulkan terlalu ramai ahli sebab saya mahu memulakan koperasi ini secara perlahan-lahan tetapi mampu memberikan keuntungan yang lumayan kepada ahli,” katanya.

Pun begitu, dengan caruman ahli sebanyak RM110 termasuk yuran pendaftaran, Coop DHR masih memperoleh keuntungan yang tinggi apabila sejak tiga tahun lalu koperasi itu mampu memberi dividen sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Jelasnya, biarpun pada tahun pertama penubuhan, koperasi berkenaan mengalami kerugian namun ia tidak mematahkan semangat Hashim untuk meneruskan koperasi itu dengan mencuba pelbagai sektor pelaburan selain sektor utama iaitu hartanah.

Ujar beliau, Coop DHR kini menceburi dalam sektor hartanah merangkumi ruang niaga dan pejabat yang telah siap dibina, antaranya di Paka, Dungun, Setiu dan Gong Badak.

“Antara projek lain ialah melibatkan pembinaan empat buah rumah teres berkembar dua dan dua buah rumah banglo dengan kos projek sebanyak RM1.6 juta.

“Selain itu, Coop DHR juga sedang berjinak-jinak menceburi bidang pembuatan songket dan batik, perniagaan emas dan aksesori,” jelasnya.

Sehingga kini, Coop DHR beroperasi di tiga buah cawangannya iaitu di Bazar Kokitab, Jalan Tok Lam yang menempatkan barangan kraf, batik dan songket.

Sementara di Bazar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jalan Masjid Abidin dan Padang Negara menempatkan barangan emas dan aksesori.

Katanya, untuk pembuatan songket, beliau kini mempunyai 15 penenun songket yang mahir di mana kebanyakan songket buatannya sering kali dipakai oleh pemimpin negara.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_04.htm#ixzz45FpLBtOl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s